KUALA LUMPUR: Aktiviti fotografi tanpa lesen di sekitar KLCC akhirnya mendapat perhatian pihak berkuasa. Dalam operasi bersepadu yang dijalankan malam tadi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 41 kompaun terhadap individu yang menawarkan khidmat fotografi tanpa kebenaran sah.
Teruskan MembacaMenurut kenyataan rasmi DBKL, operasi yang dinamakan Ops Lens ini bertujuan memantau dan mengekang aktiviti jurufoto tidak berlesen yang dilihat semakin berleluasa di kawasan awam, terutamanya di lokasi tumpuan ramai seperti KLCC.
Operasi ini turut mendapat kerjasama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
DBKL memaklumkan, pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan terhadap individu terlibat untuk menyemak latar belakang jenayah, status identiti dan kewarganegaraan mereka. Tiada tangkapan dilakukan sepanjang operasi berlangsung.
DBKL turut menegaskan bahawa aktiviti fotografi tanpa lesen bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh mengundang risiko keselamatan, bukan sahaja kepada jurugambar dan pelanggan, malah kepada orang awam yang menggunakan laluan pejalan kaki dan kawasan sekitar.
“Aktiviti ni boleh ganggu kelancaran trafik pejalan kaki dan membahayakan keselamatan,” kata jurucakap DBKL.
Tambah mereka lagi, tindakan tegas akan diambil termasuk penyitaan peralatan sekiranya aktiviti ini berterusan tanpa kelulusan yang sah.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berjadual untuk pastikan bandar kekal selamat, teratur dan mesra pengunjung.”
Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan aktiviti tanpa lesen boleh salurkan terus melalui saluran rasmi DBKL di: https://adukl.dbkl.gov.my















