Hari ini, semua mata tertumpu ke Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelan lima tahun yang bakal menentukan arah pembangunan negara dari 2026 hingga 2030.
Menurut jadual rasmi, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan RMK13 pada pukul 12 tengah hari, selepas sesi soal jawab lisan dan Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bermula jam 10 pagi.
Teruskan MembacaLepas pembentangan, sidang akan berehat seketika sebelum sesi perbahasan bermula minggu depan, selama lapan hari berturut-turut, diikuti penggulungan oleh menteri-menteri bermula 18 Ogos.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Anwar berkongsi bahawa RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, dan disusun untuk memastikan kemajuan negara lebih seimbang dan menyeluruh. Katanya, pelan ini dibangunkan hasil libat urus dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, supaya suara rakyat benar-benar jadi asas utama.
Dalam sesi pagi tadi, isu-isu rakyat pun turut dibangkitkan. Antaranya:
– Proses daftar dan syarat layak untuk bantuan tunai RM100 bawah inisiatif SARA
– Penempatan graduan IPG dan kriteria pemilihan
– Dana penyelenggaraan RM50 juta untuk rumah ibadat bukan Islam, siapa yang dapat, ikut negeri mana?
Sebagai info, sidang Parlimen kali ini akan berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. Jadi, akan ada banyak lagi isu penting yang bakal dibahas.
Apa pun, RMK13 dijangka jadi antara rancangan paling besar untuk masa depan negara, dan ramai yang tertunggu-tunggu intipatinya hari ini.
















