Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat dicabul dan dirogol sebanyak empat kali oleh seorang bomoh yang mendakwa terdapat ‘pendamping’ pada badan mangsa.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 50 tahun dan bekerja sebagai jurulatih Muay Thai datang ke rumah mangsa yang merupakan anak bongsu tiga beradik pada Ogos lalu bagi merawat ibu saudara mangsa yang dipercayai mengalami gangguan sihir.
Teruskan MembacaKatanya, suspek dipercayai telah membawa mangsa bersama ibu dan bapa saudara mangsa ke kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Cheng bagi tujuan mengubati mangsa.
“Pada pertemuan itu suspek menyuruh ibu dan bapa saudara mangsa pergi membeli makanan dan meninggalkan mangsa bersama suspek berdua di kawasan semak.
“Ketika itu suspek didakwa merogol mangsa dan turut memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu kepada orang lain menyebabkan mangsa takut menceritakan hal itu kepada sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Jelasnya, sejak dari itu suspek sering datang ke rumah mangsa untuk tujuan mengubati mangsa dan dalam tempoh itu juga mangsa mendakwa telah dirogol sebanyak empat kali oleh suspek di tempat berlainan.
Suspek ditahan polis jam 4.30 pagi pada Selasa di tempat latihan Muay Thai di kawasan Batu Berendam dan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya lagi.