PETALING JAYA: Pasangan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King, terus mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya mencipta sejarah dengan merangkul gelaran juara di Macau Open 2025, kemenangan pertama mereka dalam siri BWF World Tour.
Teruskan MembacaPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada mereka berdua atas kejayaan yang cukup membanggakan ini.
“Tahniah saudara Wan Arif dan Roy King! Kejayaan ini membanggakan negara.
Teruskan semangat juang demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” tulis beliau di media sosial.
Kemenangan ini lebih manis apabila mereka berjaya menundukkan pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Moh Reza Pahlevi dan Sabar Karyaman Gutama, dalam aksi sengit selama 79 minit, dengan kemenangan straight sets 22-20, 21-18.
Apa yang menarik, perlawanan akhir tersebut berlangsung dalam suasana mencabar apabila ia terpaksa dihentikan beberapa kali akibat kebocoran bumbung di Macau East Asian Games Dome. Keadaan gelanggang perlu dikeringkan hampir setiap kali selepas mata dimainkan namun semangat juang Wan Arif dan Roy King kekal padu sampai ke hujung.
Lebih membanggakan, kemenangan ini juga menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia dalam acara beregu lelaki di kejohanan berprestij itu. Kali terakhir negara bergelar juara adalah pada 2013 menerusi pasangan Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong.
Bukan itu saja, ini juga merupakan kemenangan pertama mereka ke atas pasangan Indonesia tersebut selepas tiga kekalahan sebelum ini.
Untuk rekod, gandingan muda ini pernah muncul naib juara Spain Masters tahun lalu dan tahun ini menunjukkan prestasi yang semakin stabil dengan mara ke separuh akhir Orleans Masters serta beberapa aksi suku akhir di kejohanan lain.
Tahniah sekali lagi kepada Wan Arif dan Roy King! Semoga kejayaan ini jadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan buat Malaysia di pentas dunia!