CHERAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan negara perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, bukan sekadar membina bangunan pencakar langit yang gah.
Teruskan MembacaBerucap di Majlis Pecah Tanah Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan Madani, Anwar berkata masih banyak kawasan perumahan rakyat yang kurang lengkap dari segi kemudahan asas seperti sekolah, klinik dan taman permainan.
“Kita tak boleh hanya fokus bina bangunan mewah untuk golongan atasan, sedangkan sekolah dan medan selera rakyat dibiar daif. Ini perlu diperbetulkan,” katanya.
Beliau mahu setiap projek perumahan baharu dilengkapi kemudahan seperti tempat letak kereta, jalan yang baik, keselamatan, serta paling penting sekolah.
“Saya mungkin keluarkan arahan khas supaya sekolah jadi keperluan wajib dalam projek baharu,” tambahnya.
Anwar turut tegaskan bahawa kerajaan serius mahu bantu rakyat, bukan sekadar buat projek untuk untungkan pihak tertentu.
“Walaupun kos tinggi dan beri tekanan kepada kewangan negara, kita teruskan juga kerana ini untuk rakyat,” jelasnya.
Beliau juga menyeru DBKL dan agensi lain supaya pastikan kemudahan penjaja disiapkan dengan baik, bukan sekadar sediakan tapak.
“Kita tak halang restoran mahal, tapi dalam kawasan rakyat, kena ada juga gerai makan yang mampu milik,” katanya lagi.
















