PETALING JAYA: Artis-artis veteran kini berpeluang kembali aktif dalam dunia seni selepas Kementerian Komunikasi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuka permohonan Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) bermula 29 Ogos hingga 7 September 2025.
Teruskan MembacaDana khas ini diwujudkan bagi menyokong penghasilan telefilem tempatan berkualiti tinggi dan dalam masa sama memberi ruang kepada artis lama untuk terus berkarya.
Menurut FINAS, Dana STAR bukan sekadar menaja penerbitan telefilem, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada jasa artis veteran yang pernah mengangkat industri seni tanah air.
Menariknya, syarat utama dana ini ialah sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja produksi mesti terdiri daripada artis veteran. Langkah ini bukan saja membuka peluang kerja, malah menjamin kesinambungan kerjaya mereka.
Permohonan boleh dibuat secara online melalui laman web rasmi FINAS atau portal SPPIK, mengikut garis panduan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang sedang berkuat kuasa.
Kerjasama turut melibatkan RTM dan beberapa stesen TV swasta untuk memastikan telefilem yang dihasilkan dapat ditayangkan di platform arus perdana, sekali gus sampai kepada penonton lebih luas.
Sebarang pertanyaan boleh dihantar terus ke Bahagian Pengurusan Produksi FINAS melalui e-mel [email protected] tempoh permohonan dibuka.
Inisiatif ini dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan menjaga kebajikan artis veteran, memperkukuh industri kreatif negara dan memastikan legasi mereka terus dihargai generasi baharu.