KLANG: Spekulasi rumah tangga pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim akhirnya terjawab apabila isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril mengesahkan dia sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Teruskan MembacaPerkara itu didedahkan sendiri oleh Nur Syazwani menerusi Instagram Story yang sekali gus mengesahkan khabar angin mengenai hubungan mereka.
“Bukan mudah untuk saya. Ini pun bukan kali pertama saya pernah diceraikan. Saya cuba pertahankan rumah tangga, tapi terlalu banyak campur tangan dan ujian dalam hidup saya. Keputusan hari ini memang bukan mudah,” tulisnya.
Terdahulu, Faisal dilihat hadir ke mahkamah sekitar jam 2.30 petang untuk sebutan kes perceraian berkenaan.
Di media sosial, peminat turut perasan perubahan pada akaun Instagram Faisal apabila semua gambar bersama isterinya dipadam. Perkara itu terus mencetuskan pelbagai komen dan tanda tanya dalam kalangan netizen.
Setakat ini, Faisal masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Dalam satu video yang tular, Nur Syazwani kelihatan tenang menjawab soalan media ketika ditemui di mahkamah. Namun, beliau sekadar berkata, “Kini bukan masa yang sesuai untuk menjelaskan.”