PETALING JAYA: Angka mengejutkan hampir 45,000 pelajar sekolah di seluruh negara dikesan merokok dan menggunakan vape sepanjang tahun lalu, menurut pendedahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Teruskan MembacaDaripada jumlah itu, 44,211 adalah pelajar sekolah menengah, manakala 230 lagi murid sekolah rendah. Data ini direkodkan menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) yang dijalankan KKM untuk membendung tabiat merokok di kalangan remaja.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada pelajar sekolah menengah, seramai 17,172 menggunakan rokok konvensional manakala 19,782 lagi memilih vape.
“Bagi sekolah rendah pula, 55 murid dikesan merokok manakala 138 menggunakan vape,” katanya sambil menambah bahawa ribuan pelajar telah menyertai program intervensi berhenti merokok yang disediakan kementerian.
Menurut beliau, KKM komited melawan gejala merokok dan ketagihan vape dengan pelbagai inisiatif, antaranya Klinik Berhenti Merokok (KBM) yang kini ditawarkan di 857 klinik kesihatan seluruh negara.
Sepanjang tahun lalu sahaja, 38,467 perokok mendaftar di klinik ini, dan daripada jumlah itu, hampir 5,000 berjaya berhenti sepenuhnya dengan kadar kejayaan sekitar 57 peratus.
KKM juga kini memperluaskan capaian melalui platform online JomQuit, yang menyediakan sesi kaunseling maya bersama pengamal kesihatan bertauliah. Sejak Oktober 2024 hingga Ogos 2025, hampir 2,000 klien sudah mendapatkan khidmat melalui platform tersebut.
“Semua usaha ini penting untuk pastikan generasi muda kita bebas daripada rokok dan vape,” tegas Dr Dzulkefly.