PETALING JAYA: Sebuah kafe mi segera yang tular kerana mempamerkan alpaka dan beberapa haiwan eksotik lain di premisnya telah diarahkan tutup selama tujuh hari dan dikenakan dua kompaun berjumlah RM10,250 oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Teruskan MembacaTindakan itu diambil selepas kafe berkenaan menerima kecaman warga maya susulan penularan gambar seekor alpaka yang kelihatan tidak bermaya dan tertekan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan tersebut.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi MBMB pada Isnin, Datuk Bandar Melaka, Datuk Shadan Othman bersama Timbalan EXCO Sains, Teknologi dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Helmy Abdul Halem serta pegawai kanan MBMB telah melakukan lawatan ke premis berkenaan dan mengarahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan sepanjang tempoh penutupan.
“MBMB mengeluarkan dua kompaun iaitu RM10,000 atas kesalahan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 serta RM250 kerana melanggar syarat Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020,” katanya.
Shadan turut mengadakan lawatan susulan dan bertemu sendiri dengan pemilik premis, lelaki warga Singapura berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Ong.
Ong menjelaskan bahawa beliau membeli dua ekor alpaka dari Australia dengan harga keseluruhan RM43,000, dan menyimpan seekor daripadanya di rumah.
Menurutnya, haiwan tersebut sangat disayangi dan mempunyai keunikan tersendiri.
“Saya faham ada yang marah, kononnya saya menzalimi alpaka itu.
“Sedangkan saya memang menyayangi haiwan itu termasuk kucing malah membelinya dengan harga RM20,000 seekor, mana mungkin menganiayanya,” katanya.
Walaupun mengakui kesilapan kerana mempamerkan haiwan di kedai makan, Ong tetap bertekad untuk meneruskan perniagaan makanan secara sah.
“Selepas ini saya akan perkemaskan semula permohonan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Saya juga akur dengan arahan penutupan selama tujuh hari dan akan segera memindahkan kesemua binatang tersebut ke tempat sepatutnya selain membersihkan kawasan restoran ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Helmy menyatakan bahawa walaupun konsep kafe tersebut menarik, ia tetap menyalahi undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan menjejaskan kesejahteraan haiwan.
“Konsep kedai ni menarik. Cuma salah sebab tak ikut undang-undang PBT dan kacau hak kehidupan binatang.
“Kesian binatang tu takde ‘me-time’. Kedai diarah tutup tujuh hari untuk pembersihan. Lepas tu patuhi garis panduan, jaga kebajikan binatang dan barulah teruskan perniagaan,” ujarnya.