PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonominya, tetapi juga melalui mutu pendidikan dan sistem kesihatan yang berkualiti serta inklusif untuk semua rakyat.
Teruskan MembacaDalam satu perkongsian di Facebook pada Selasa, Anwar berkata, negara yang benar-benar hebat ialah negara yang berilmu, berperikemanusiaan dan penuh nilai ihsan, di mana tiada rakyat yang tersisih daripada peluang mendapatkan pendidikan atau rawatan kesihatan yang baik.
“Atas asas itu, kerajaan beri tumpuan besar kepada dua teras utama dalam belanjawan negara pendidikan dan kesihatan, sebagai landasan utama agenda perubahan dan pembangunan Malaysia,” katanya.
Anwar juga menyebut mengenai peranan penting kolej dan Universiti Institut Jantung Negara (IJN) yang disifatkan sebagai contoh terbaik sinergi antara bidang pendidikan dan perubatan dalam negara.
“Malah, ia bakal melahirkan generasi baharu profesional kesihatan yang bukan sahaja hebat dalam ilmu, tetapi juga tinggi nilai empati dan ihsan dalam khidmat kepada rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, fokus terhadap pendidikan dan kesihatan adalah pelaburan jangka panjang kerajaan dalam membina masyarakat yang berpengetahuan, sihat dan berdaya saing, kerana kemajuan sebenar negara bermula daripada kesejahteraan rakyatnya sendiri.
















