Malam di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini memang lain macam. Malam Simfoni Luka bukan sekadar konsert biasa, tapi satu malam penuh emosi yang buat ramai penonton ‘tewas’ dengan perasaan sendiri.
Teruskan MembacaKonsert ini menghimpunkan tiga nama besar yang memang terkenal dengan lagu-lagu penuh makna iaitu Midnight Fusic, Insomniacks dan band dari Indonesia, For Revenge. Dari awal hingga akhir, setiap persembahan seolah-olah bercerita tentang luka, rindu dan kisah yang pernah dialami ramai orang.
Midnight Fusic membuka pentas dengan aura tenang dan ‘dreamy’. Lagu-lagu seperti Modus Operandi dan Cahayaku buat suasana jadi lebih syahdu, seolah-olah ajak penonton hanyut perlahan-lahan dengan emosi sendiri.
Kemudian giliran Insomniacks pula mengambil alih. Seperti dijangka, lagu-lagu popular mereka mencetuskan sesi nyanyi sama-sama. Bila Pulang dimainkan, satu dewan bergema dengan suara penonton yang turut sama meluahkan rasa melalui lirik lagu.
Namun kemuncak emosi malam itu jelas terasa apabila For Revenge muncul di pentas. Persembahan mereka yang penuh tenaga dan emosi mentah benar-benar ‘merobek’ perasaan penonton. Lagu-lagu seperti Serana dan Jakarta Hari Ini membuatkan ramai tenggelam dalam dunia sendiri, ada yang sekadar diam, ada juga yang menyanyi sambil mata berkaca.
Gabungan muzik, visual pentas yang dramatik serta susunan lagu yang tersusun kemas menjadikan Malam Simfoni Lukasatu pengalaman yang sukar dilupakan.
Pendek kata, konsert ini bukan hanya menghiburkan, tetapi berjaya menyentuh hati, satu malam yang buat ramai pulang dengan perasaan bercampur-baur, namun penuh kepuasan.
















