Pendengar setia SINAR FM bakal disajikan dengan suasana baharu apabila stesen radio popular itu memperkenalkan barisan penyampai baharu bagi segmen pagi dan petang bermula 9 Februari 2026.
Teruskan MembacaPerubahan ini melibatkan dua slot utama yang menjadi tumpuan pendengar setiap hari, iaitu waktu pagi sebelum ke tempat kerja dan waktu petang ketika pulang dari rutin harian.
Bagi segmen Gen Pagi SINAR yang ke udara dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, pendengar akan ditemani gandingan Hefny, Roy Azman dan Sharifah Shahira. Trio ini dijangka membawa kombinasi sembang santai, gelak tawa dan isu seharian yang dekat dengan kehidupan pendengar.
Sementara itu, segmen petang Brader Brader SINAR (4 petang hingga 8 malam) pula akan dikendalikan oleh Falyq, Ray dan Rahim. Slot ini bakal menjadi peneman perjalanan balik kerja dengan gaya borak yang relaks, interaksi mesra serta alunan muzik retro kegemaran ramai.
Untuk segmen lain, SINAR FM mengekalkan barisan sedia ada. SINAR Solo (10 pagi – 1 petang) masih bersama Dina, diikuti RSVP SINAR (1 petang – 4 petang) yang dikendalikan Sarah Kamilla, manakala Rehat dan Relax SINAR (8 malam – 12 tengah malam) terus menemani pendengar bersama Putra.
Menurut pihak pengurusan, pembaharuan ini dibuat bagi memberi nafas baharu kepada kandungan siaran tanpa mengubah identiti SINAR FM yang sinonim dengan muzik retro dan pendekatan mesra pendengar.
Dengan barisan penyampai baharu ini, SINAR FM berharap dapat terus kekal relevan dan menjadi pilihan pendengar pelbagai peringkat usia.
Jadi, jangan lupa setkan radio anda bermula 9 Februari ini, mungkin rutin pagi dan petang anda bakal jadi lebih meriah dari biasa.
















