Empat nama yang cukup sinonim dengan kerja-kerja kemanusiaan, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Ardell Aryana dan Haroqs sekali lagi menjadi perhatian apabila mereka bakal menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Misi kali ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Global Sumud Flotilla (GSF), yang menghimpunkan sukarelawan dari seluruh dunia untuk membawa bantuan serta menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Teruskan MembacaPerkongsian mengenai penyertaan mereka dibuat menerusi media sosial Yayasan Mawaddah, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Difahamkan, selain empat individu ini, terdapat beberapa lagi peserta lain namun identiti mereka masih belum didedahkan.
Apa yang buat misi ini lebih besar skalanya, ia melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta antarabangsa. Mereka dijangka akan membawa pelbagai bentuk bantuan termasuk keperluan asas serta kepakaran dalam bidang perubatan, pendidikan dan kemasyarakatan.
Menurut perancangan, rombongan ini akan berlepas dari Barcelona pada 12 April sebelum memulakan perjalanan menuju ke Gaza.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa bangga dengan keberanian mereka. Tidak kurang juga yang menitipkan doa agar segala urusan dipermudahkan dan mereka selamat sepanjang misi yang penuh cabaran itu.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama mereka terlibat dalam misi seumpamanya. Sebelum ini, beberapa daripada mereka pernah melalui pengalaman mencemaskan ketika menyertai misi bantuan ke kawasan konflik. Namun, semangat untuk terus membantu jelas tidak pernah luntur.
Apa pun, usaha mereka ini sekali lagi membuktikan bahawa masih ramai yang sanggup tampil ke hadapan demi memperjuangkan nilai kemanusiaan.
















