Pendaki wanita yang sebelum ini dilaporkan hilang selama 14 hari ketika mendaki di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Tapah kira-kira jam 1.50 petang tadi selepas menerima rawatan.
Ketika ditemui media di Wad Perempuan hospital berkenaan, Jaslinda, 49, kelihatan ceria dan tidak lekang mengukir senyuman.
Teruskan MembacaMengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatannya, Jaslinda berkata buat masa ini dia hanya mahu pulang ke rumah untuk berehat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana mendoakan keselamatan saya. Saya balik rumah dahulu, tidur dan berehat. Nanti saya akan berikan kenyataan lanjut.
“Apa yang saya dengar mengenai spekulasi yang tersebar itu semua fitnah,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, Jaslinda tidak menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai dakwaan fitnah yang dimaksudkannya.
Difahamkan selepas keluar dari hospital, Jaslinda dibawa pulang ke kediamannya di Damansara dengan menaiki sebuah Honda City berwarna hitam yang dipandu suaminya, Haszman Othman, 61.
Sebelum ini, kehilangan Jaslinda ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen sehingga mendapat perhatian ramai di media sosial.
















