Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengajak orang ramai untuk sama-sama menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan urusan rayuan akhir melibatkan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, Bella berkata majlis tersebut akan diadakan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin hadir memberikan sokongan serta menitipkan doa.
Teruskan MembacaMenurut Bella, keputusan rayuan akhir kes yang dihadapi Syed Saddiq dijadualkan diumumkan pada 30 Jun ini, justeru dia berharap orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar segala urusan dipermudahkan.

“Saya ingin menjemput semua yang mengenali dan menyokong Syed Saddiq untuk hadir ke majlis solat hajat dan doa selamat ini. Doa dan kehadiran anda semua amat bermakna,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Bella turut menitipkan doa agar Syed Saddiq diberikan kekuatan, ketenangan serta keadilan dalam menghadapi proses perundangan yang sedang berlangsung.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 30 Jun depan.
Sebelum ini, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada November 2023.
















