KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM) bersedia mempertimbang peruntukan bagi membangun dan memperkasa bidang sukan tempur peringkat sekolah rendah dan menengah pada masa akan datang.
Antara usaha cungkil bakat baharu sukan tempur |
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu mengangkat sukan tersebut menerusi pelaksanaan aktiviti dan pertandingan sekaligus mencungkil bakat atau pelapis baharu dalam pelbagai sukan tersebut.
Teruskan Membaca“Perkara ini baharu diputuskan namun sudah tentu kita akan mempertimbang peruntukan bagi sukan tempur… mungkin dalam perbelanjaan atau belanjawan KPM pada masa akan datang.
“Kita akan bincangkan secara lebih terperinci bagaimana untuk memastikan sukan tempur dapat dilaksanakan sebaik mungkin di peringkat sekolah,” katanya.
Beliau sebelumnya ditemui pemberita pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Anugerah Kejohanan Wushu KPM-Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) ke-12 di Melaka pada Ahad.
Mengulas lanjut Lim berkata, KPM akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan sesi latihan khas bagi sukan tempur di peringkat sekolah supaya pelajar mendapat pendedahan serta latihan lebih intensif.
“Sekolah juga boleh bekerjasama dengan persatuan sukan tempur seperti wushu di luar sana kerana kebanyakan persatuan mempunyai pelatih yang mahir,” katanya sambil menambah penyertaan kaum lain dalam sukan itu di sekolah adalah digalakkan.
Ia juga akan melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah agar pelaksanaannya lebih menyeluruh serta lancar selain memastikan pencapaian cemerlang pelajar dalam sukan itu.
Baru-baru ini, Mesyuarat HLC Pembangunan Sukan memutuskan sukan tempur diklasifikasi sebagai aktiviti sukan berbanding aktiviti badan beruniform di sekolah bagi memastikan atlet sukan itu mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Difahamkan, antara sukan tempur terbabit adalah Wushu, Silat, Karate dan Taekwando.