Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk menawarkan suntikan vaksin influenza kepada individu tempatan yang berisiko dijangkiti penyakit tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, walaupun penularan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) tempatan setakat ini masih terkawal, gejala itu perlu dipandang serius kerana turut membawa risiko kematian.
Teruskan Membaca“Begitupun buat masa ini, vaksin influenza tersebut akan diberikan kepada pekerja-pekerja kesihatan terlebih dahulu. Kalau ada bajet (lebih), kita akan beri (suntikan vaksin influenza) kepada rakyat yang berisiko,” katanya.
Buat makluman, influenza disebabkan virus Influenza yang menjangkiti saluran pernafasan. la boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.
Bagi negara-negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerap kali berlaku semasa musim sejuk manakala bagi negara-negara tropika di sepanjang garisan Khatulistiwa (termasuk Malaysia), kejadian wabak berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim yang tertentu.
Cara mencegah influenza
Jangkitan Influenza boleh dicegah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan. Individu berumur 6 bulan ke atas layak untuk mendapat vaksinasi ini. Pada masa ini, vaksin Influenza ditawarkan di fasiliti kesihatan swasta.
Selain daripada mendapatkan vaksin Influenza, lain-lain langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:
1. Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti cara membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.
2. Amalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin sama ada dengan menggunakan tisu atau pelitup muka.
3. Buang tisu atau pelitup muka ke dalam tong sampah sejurus selepas ia digunakan.
4. Jarakkan diri daripada individu yang bergejala sekurang-kurangnya satu meter.
5. Rehat di rumah dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sekiranya perlu ke tempat awam, gunakan pelitup muka.