Terkini

Selamatkan negeri daripada kerosakan – Anwar

Rakyat di negeri ditadbir PN perlu menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai medan menyelamatkan negeri daripada kerosakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH)  berkata, rakyat tidak boleh memberi isyarat untuk membenarkan kerosakan itu berlaku dengan memberi undi kepada gabungan selain daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Anwar meminta pengundi mengambil iktibar daripada setiap perkembangan yang berlaku di negeri ditadbir PN biarpun sering melaungkan slogan ‘bersih’ ketika berkempen.

“Sebab itu saya nasihatkan (supaya) pilihan raya ini kita selamatkan negeri kita. Jangan bagi sikit isyarat (menang), baik Melayu, Cina, India mahupun kaum lain. Jangan buat main.

“Jangan abaikan hak anda (untuk mengundi). Kamu putuskan mana yang anda mahu jadikan kerajaan.

“Kalau anda bertolak ansur dan main-main dengan undi, mereka (PN) menang dan akan jadi rosak negara kita.

“Apa dia (PN) buat di negeri ditadbir mereka? Dia ingat dia bersih, bersih apa sampai masuk mahkamah? Bukan kerja saya (mendakwa), tetapi badan penyiasatan,” katanya ketika berucap di Ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menasihati pengundi supaya tidak tertipu lagi dengan pelbagai janji yang tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru, kita mesti pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga pilihan raya akan datang (RU16). Saya mahu Pulau Pinang, Kedah, dan semua negeri yang ada PRN bagi sokongan kepada calon kita,” katanya.

Pelbagai

Scroll to Top