Terkini

Kasih Malaysia hulur sumbangan kepada pusat jagaan warga emas, OKU

Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) hari ini menyumbang RM10,000 kepada Pusat Jagaan Titian OKU Nur yang terletak di Rawang, Selangor.

Sumbangan disampaikan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam kunjungannya ke pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) itu.

Kasih Malaysia turut menyumbang barangan keperluan seperti bakul makanan, lampin, cadar dan berus gigi kepada penghuni pusat jagaan berkenaan.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Kasih Malaysia berkata, pertubuhan itu sentiasa prihatin dalam membantu menjaga kebajikan warga emas dan golongan memerlukan di negara ini.

“Kita akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu golongan ini, kita ada hasrat dan niat untuk membantu orang yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Pusat Jagaan Titian OKU, Nur Norma Adlan, berterima kasih atas sumbangan berkenaan yang dapat membantu pusat jagaan dengan 90 penghuni termasuk empat pekerja itu. 

Pelbagai

Scroll to Top