Sebuah video lagu kanak-kanak bertajuk ‘Hello Kuala Lumpur‘ di YouTube mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen Indonesia.
Video itu didakwa mempunyai lirik dan melodi yang mirip dengan lagu patriotik yang berasal dari Indonesia iaitu ‘Halo, Halo Bandung‘.
Teruskan MembacaKemarahan netizen Indonesia tercetus daripada laporan media tempatan, yang mendakwa, saluran YouTube itu berasal dari Malaysia. Video berkenaan telah dimuat naik pada tahun 2018 dan sekali lagi pada tahun 2020 di saluran sama.
Perdebatan mengenai perkara itu turut mendominasi pelbagai platform media sosial termasuk di X dan juga Facebook.
Dalam video lagu itu, terpapar animasi kanak-kanak yang sedang bergembira dengan latar imej bercirikan Kuala Lumpur seperti Menara Berkembar Petronas dan juga bendera Malaysia. Durasi video turut bersambung dengan lagu ‘31 Ogos‘ seterusnya beberapa lagu kanak-kanak lain.
CNN Indonesia melaporkan, lagu ‘Hello Kuala Lumpur‘ cuma mengubah beberapa perkataan daripada lirik asal ‘Halo, Halo Bandung‘, iaitu hasil karya seniman asal Betawi, Ismail Marzuki.
Tribunnews.com pula melaporkan, dalam mengulas dakwaan pelanggaran hak cipta dalam lagu itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata pihaknya masih mengumpul bukti berhubung dakwaan plagiarisme.
“Kami masih mengumpul maklumat yang lebih lengkap,” katanya.
Bagaimanapun, semakan di internet mendapati bahawa saluran YouTube berkenaan dimiliki sebuah syarikat yang beralamat di Hyderabad, Telangana, India.
Syarikat jaringan kandungan global, Infinitium Network, itu menghasilkan pelbagai kandungan siaran termasuk kandungan YouTube yang antaranya menghimpunkan pelbagai lagu kanak-kanak dari beberapa negara.
Selain lagu kanak-kanak dari Malaysia dan Indonesia, syarikat itu juga turut mempunyai koleksi lagu kanak-kanak dari negara seperti Rusia, Filipina, Jepun, Sepanyol, Arab, Romania dan banyak lagi. Setiap koleksi lagu tersebut juga dikategorikan mengikut negara dan bahasa , serta diterbitkan dalam saluran berasingan di platform YouTube.
Berdasarkan pemerhatian, kandungan berkenaan dipercayai dihasilkan menggunakan janaan kecerdasan buatan (AI).