Kerajaan melantik pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional, MIMOS Berhad sebagai agensi pelaksana program Identiti Digital Nasional (IDN) dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada MIMOS pada minggu hadapan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyegerakan pelaksanaan program berkenaan.
Teruskan MembacaBeliau berkata, peruntukan itu sebagai permulaan awal kerajaan ke arah transformasi digital.
“Jadi ada keperluan segera, memang ada peruntukan untuk maksud tersebut sudah diluluskan KDN. Untuk mempercepatkan proses itu, kita segerakan dan minta program pelaksanaan itu diawalkan dan saya mendapat jaminan ia akan disegerakan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
“Saya sudah minta Kementerian Kewangan dan KDN menyalurkan RM80 juta minggu depan,” jelasnya.
Tambah Anwar, keperluan pengurusan juga perlu disegerakan sebelum akhir November ini bagi menyegerakan pelaksanaan IDN.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan lawatan di MIMOS Berhad di ibu negara pada Selasa.
IDN merupakan program tambah nilai yang diperkenalkan kerajaan bertujuan mewujudkan satu platform pengesahan yang bakal memanfaatkan sektor awam dan swasta menerusi pengesahan identiti pengguna semasa transaksi digital.
Platform itu disasarkan kepada semua warga negara dan penduduk tetap di Malaysia berusia lima tahun ke atas.
Sementara itu, Anwar berkata, negara perlu terus diperkasakan dengan kemahiran dan penyelidikan tempatan dan tidak hanya bergantung kepada kepakaran luar semata-mata.
“Kita mahu jentera penyelidikan sains, teknologi di negara kita diperkasa. Kalau kita mahu angkat martabat dan darjat negara, maka kita harus guna kekuatan dalaman, tidak bermakna kita tidak mahu menimba pengalaman asing.
“Kita ingin negara ini maju jangan ketinggalan, tapi maju ini tidak hanya menciplak, menyerahkan kepakaran asing, maju ini ada kekuatan dalaman.
“Kita dah melahirkan pakar-pakar seperti MIMOS, kajian sains dalam negara kita harus memanfaatkan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Baca juga: