Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam esok, sebagai tanda solidariti negara bersama rakyat Palestin.
Perdana Menteri berkongsi mengenai perhimpunan itu menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.
Teruskan Membaca“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!” kata Perdana Menteri.
Menerusi poster yang dikongsi dalam hantaran itu, perhimpunan tersebut dijadualkan berlangsung mulai 7.30 malam hingga 10.30 malam.
Sementara itu, Gabungan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Seluruh Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat khas pada perhimpunan itu, sebaik sahaja pulang dari luar negara.
“Program yang akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah itu, akan diteruskan dengan ucapan wakil-wakil NGO sebelum ditutup dengan ucapan khas Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Hakim Mohd Nor yang juga salah seorang sekretariat program berkata, tujuan pelaksanaan program itu ialah untuk menunjukkan kesatuan Malaysia terhadap rakyat Palestin, yang kini sedang dizalimi Zionis Israel.
Himpunan yang bertemakan pakaian putih itu dijangka dihadiri lebih 20,000 orang.