Terkini

Mengimarahkan rumah Allah, warganet puji pengurusan masjid wujudkan ruang khas buat kanak-kanak bermain

SEORANG pengguna aplikasi TikTok menunjukkan bahagian masjid yang menyediakan ruang khas buat kanak-kanak untuk memudahkan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke masjid tanpa mengganggu jemaah lain.

Menerusi video tular berdurasi 11 saat yang dimuat naik oleh Balqisbob, masjid yang dirakam merupakan Masjid Kota Damansara atau lebih dikenali sebagai Masjid Kuning.

Dia yang mengunjungi masjid berkenaan untuk menunaikan solat sunat Tarawih memuji pengurusan masjid berkenaan yang cakna mengenai isu penjagaan kanak-kanak di masjid.

“Bagus masjid ini, sediakan ruang khas untuk kanak-kanak. Bukan main lagi seronok mereka pergi ke masjid begini. Semoga menjadi pewaris-pewaris yang cintakan masjid,” katanya menerusi kapsyen video berkenaan.

kebanyakan warganet juga turut bersetuju dengan kenyataan Balqis, menyatakan perasaan senang mereka dengan wujudnya ruang khas berkenaan untuk keselesaan para jemaah yang hadir tanpa diganggu kanak-kanak yang sedang bermain.

Kebanyakan warganet juga menceritakan pengalaman manis mereka bermain di masjid bersama rakan-rakan semasa kecil.

“Alhamdulillah, tahniah pada pengurusan masjid ini,” komen BangNgahKL.

“Rasa seperti mengimbau kenangan masa zaman kecil, rindunya,” komen Muhammad Putra Khairul.

“Teringat dulu waktu kecil saya pernah dimarah kerana baling mercun papan kedalam masjid. Sekarang ni bagus sudah ada tempat khas untuk kanak-kanak bermain,” kata Nely.

“Terbaik Masjid Kuning. Lumrah kanak-kanak suka bermain jadi kita tidak boleh marah. Masa kecil pun kita suka bermain begini dan lama-lama jadi suka pergi ke masjid,” Dev.

Oleh itu, pengurusan masjid wajar dipuji dalam usaha untuk mewujudkan ruang khas sebegini bagi memudahkan ibu bapa yang ingin beribadah namun harus membawa anak mereka sekali.

Dengan cara ini, mungkin lebih banyak pengurusan masjid lain boleh mencontohi cara ini untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah untuk beribadah dan tidak diganggu oleh kanak-kanak yang sedang bermain. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top