SEORANG lelaki dipercayai warganegara Britain dilaporkan meninggal dunia selepas pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura menghadapi gelora udara yang teruk.
Kejadian berlaku ketika pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow, London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada Selasa.
Teruskan MembacaMenerusi kenyataan di Facebook, SIA memaklumkan pesawat Boeing 777-300ER yang membawa sejumlah 211 penumpang dan 18 anak kapal terpaksa mengubah laluan penerbangan dan melakukan pendaratan kecemasan di Bangkok pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.
“Seramai 18 individu telah dimasukkan ke hospital dan 12 sedang dirawat di hospital manakala baki penumpang dan anak kapal sedang diperiksa dan diberi rawatan, jika perlu.
“Kami meminta maaf mendalam di atas pengalaman traumatik yang dialami penumpang dan kru kami dalam penerbangan terbabit.
“SIA merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia. Kami akan memberikan kemas kini berkala di akaun Facebook dan X,” katanya di Facebook.
SIA berkata, keutamaan mereka adalah untuk memberikan segala bantuan yang boleh kepada semua penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu.
Sementara itu, SIA memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan dan menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.
Singapore Airlines juga telah membuka talian penting bagi waris penumpang untuk mendapatkan maklumat di talian +65 6542 3311.
Baca juga: