Oleh: Haikal Tajuddin
TULAR satu video di media sosial berkenaan seorang peniaga yang menjual nasi lemak bersama dua ekor udang ketak (lobster) dengan harga mencecah RM410 mendapat pelbagai spekulasi negatif daripada wargamaya.
Teruskan MembacaDipercayai, harga nasi lemak itu terjadi apabila dibeli bersama makanan laut seperti lobster, udang galah, sotong dan sebagainya lalu dijual dengan harga yang tinggi kepada pembeli.
Namun, perkara itu menimbulkan rasa sangsi apabila peniaga barang basah mengakui bahawa makanan yang dijual kepada peruncit secara borong adalah jauh lebih murah daripada apa yang dijangkakan.
Menerusi perkongsian oleh pemilik akaun TikTok, @9495frozen, harga seekor lobster akan dijual dengan harga RM35 sahaja dan jika dibeli dalam kuantiti yang banyak, hanya mencecah RM1,000.
“Sekotak lobster, akan memiliki 32 hingga 53 ekor dan sekotak ini akan dijual dengan harga RM1,000 sahaja.
“Setiap lobster yang dijual ini juga adalah seberat 200 hingga 350 gram,” jelasnya.
Jadi, mengapa harga lobster tersebut dijual jauh lebih mahal daripada harga yang dibeli oleh penjual itu sendiri?
Perkara itu menimbulkan persoalan sehingga ada yang mendakwa bahawa harga nasi lemak bersama lobster itu tidak masuk akal dan menganggap mereka ditipu.
“Sepatutnya, akak itu kena letak tanda harga, kalau terkebil-kebil ini banyak dan tidak tepat kiraan,” komen Alexander menerusi aplikasi X.
“RM410, ada emas ke dalam nasi lemak itu? Nak ambil untung pun biarlah yang betul, jangan melebih-lebih pula. Baik makan dekat rumah sahaja,” balas Hadri.
“Sumpah tidak berbaloi. Makan dekat restoran lima bintang western dengan persekitaran yang menarik pun sama harga dalam RM400 untuk lima orang makan. Ini, tapau sahaja, pastu makan dekat rumah, air kena buat sendiri,” komen mamadhulfiqar.
Ada beberapa pihak juga turut menyarankan pihak Ketua Polis Negara Malaysia (KPN) untuk membuat siasatan terhadap kedai berkenaan supaya dapat mengelak pelanggan daripada terkena helah peniaga tersebut yang dianggap mencekik darah. — KL Viral
Baca juga: