PETALING JAYA: Satu jawatankuasa akan dibentuk oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagi membantu hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangun semula Gaza.
Menurut Na’im beliau sendiri akan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi yang diurus setiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Teruskan MembacaIni selaras dengan komitmen Perdana Menteri untuk menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza, Palestin.
Usaha itu adalah sebahagian daripada pembinaan semula Gaza yang diumumkannya pada hari ini.
“Jawatankuasa Khas ini akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri serta rakan-rakan strategik bagi mempertingkat kerjasama menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza.
“Marilah bersama-sama berdoa agar segala perancangan yang disusun ini terlaksana dengan jayanya.
“Semoga Allah Subhanahu Wataala memberikan limpahan kesejahteraan dan kekuatan kepada rakyat Palestin menghadapi ujian berat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia akan memulakan usaha pembinaan semula Gaza dengan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid.