PETALING JAYA: Sejumlah dana akan dijana segera hasil kerjasama Malaysia dan Jepun untuk membangunkan semula Gaza.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran video pada selasa.
Teruskan MembacaKatanya, perkara itu selaras dengan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
“Alhamdulillah, atas usaha kerajaan dan menteri luar, kita telah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin.
“Ini atas usaha bersama kerajaan Jepun dan Malaysia yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur,” katanya.
Sebagai permulaan, Anwar berkata, Malaysia berinisiatif untuk membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza.
Katanya, usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama rakyat di negara ini berserta syarikat-syarikat swasta.
“Ini sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya.
Sebelum ini, Anwar berkata, pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).
Beliau berkata, jumlah yang besar diperlukan kerana kemudahan seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah.
Jepun telah mengundang Malaysia untuk menjadi pengerusi bersama CEAPAD, memfokuskan pada pembangunan semula Gaza.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa yang diusahakan Mesir, Amerika Syarikat dan Qatar, berkuat kuasa pada 19 Januari lalu dan menyasarkan untuk menamatkan konflik 15 bulan di Gaza.