Pelakon terkenal, Fizo Omar, menafikan dakwaan yang mengatakan beliau mengabaikan anak sulungnya, Wan Maryam, hasil perkahwinan terdahulu bersama usahawan, Mawar Abdul Karim.
Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, beliau hanya berpeluang bertemu Maryam sebanyak empat hari dalam sebulan. Beliau mengakui bahawa kekangan masa dan situasi tertentu menyebabkan pertemuan mereka agak terhad.
Teruskan MembacaNamun begitu, Fizo enggan mengulas panjang mengenai luahan hati Maryam yang tular baru-baru ini. Beliau menganggap reaksi anaknya sebagai sesuatu yang normal bagi seorang kanak-kanak. Jelasnya, hubungan antara beliau dan anak sulungnya tidak mempunyai sebarang masalah, malah mereka masih mengekalkan hubungan yang baik sebagai sebuah keluarga.
“Mana ada bapa yang tidak menyayangi anaknya,” tegas Fizo, sambil menambah bahawa beliau tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa demi memastikan kebahagiaan anak-anaknya terjaga.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman secara langsung (live) bersama Mawar, di mana Maryam meluahkan rasa sedih dan beranggapan bahawa bapanya tidak lagi menyayanginya kerana semakin jarang meluangkan masa bersama.