SELEPAS kejadian samun pemain pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid dan insiden disimbah asid pemain Selangor FC, Faisal Halim, negara dikejutkan lagi apabila seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim yang kini menjadi mangsa serangan individu tidak dikenali.
Menurut laporan polis yang disiarkan menerusi laman Instagram milik pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT) tersebut, dia menceritakan kejadian tersebut berlaku selepas dia selesai mengambil barang di Pusat Latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru pada malam hari Selasa.
Teruskan MembacaDia kemudiannya didatangi sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua orang lelaki yang tidak dikenal pasti.
Salah seorang daripada suspek bertindak mengetuk cermin bahagian belakang kereta milik Safiq menggunakan tukul besi dan bergerak ke hadapan keretanya lalu menunjukkan tukul ke arahnya, umpama sedang menggertak untuk menyakiti dirinya.
Akibat bimbang akan keselamatannya, Safiq kemudian mengundurkan keretanya dan kedua-dua suspek tersebut turut beredar dari lokasi kejadian.
Insiden tersebut telah mencetuskan spekulasi antara warganet, terutama sekali apabila bulan Mei baru sahaja bermula namun sudah terdapat tiga kes keganasan melibatkan pemain bola sepak sebagai mangsa.
Ramai juga mulai berasa hairan apabila kejadian tersebut berlaku selang dua hari secara berturut-turut, bermula dengan insiden menimpa Akhyar pada 3 Mei kemudian diikuti oleh Faisal pada 5 Mei dan Safiq pada 7 Mei.
“Teori aku, mastermind serangan jenayah pada pemain bola Malaysia ni tidak duduk dalam negara. Dia mungkin duduk luar negara dan hanya aset (pekerja upahan) dia sahaja yang buat kerja disini,” komen BadryelBaharom.
“Minta semua pemain bola satu team dengan mereka berhati-hati kemana sahaja mereka pergi sebab nampak macam ada rancangan di sebalik ini,” kata Dyandees.
“Sekarang kita dah tahu mereka aim pemain bola, tetapi apa motif mereka sebenarnya?” soal Shazfar623.
“Bila peminat terlalu fanatik, sudah tiga mangsa selepas ini siapa pula? Aku dapat simpulkan yang mereka hanya serang player yang power sahaja. Jadi, ada unsur khianat ke?” kata Reena_Jai.
Namun, susulan daripada kejadian tersebut, Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan bahawa mereka sedang mengesan suspek yang membuat serangan terhadap Safiq dan mengenal pasti motif jenayah tersebut dilakukan. — KL Viral
Baca juga: