Selepas berbulan-bulan mendiamkan diri daripada memberi penjelasan mengenai hubungan perkahwinan, akhirnya pelakon dan penyanyi veteran terkenal, Datuk ND Lala tampil memberikan penjelasan menerusi tiga video di Instagram peribadinya.
“Saya nak ambil kesempatan ini, mohon janganlah gelar atau labelkan Siti Munirah sebagai penyodol. Ini tak benar sama sekali sebab dia tak pernah sondol atau mengurat saya.
Teruskan Membaca“Saya yang mendekatinya. Awal-awalnya, Siti Munirah tak nak, tetapi akhirnya saya pergi minta restu ayahnya.
“Apabila ayahnya bersetuju, maka kami pun bernikah. Jadi, tidak benarlah dia sondol saya.
“Jika sondol saya, kita ada akta yang boleh dibawa ke tengah dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda. Siti Munirah tidak sondol, tetapi saya melamarnya secara sah,” jelasnya.
Terdahulu, ND Lala memuat naik tiga video dalam Instagram, semalam. Video pertama menjelaskan mengenai isu perceraiannya, manakala video kedua membabitkan impak jenayah, ghibah dan fitnah.
Menerusi video ketiga, Nd Lala meminta mereka yang pernah menuduh isterinya sebagai penyondol supaya menurunkan balik tuduhan itu.
Sementara itu, Nd Lala juga berkata, rentetan kontroversi kemelut rumah tangga dengan bekas isteri, Fauziah Sarman, reputasi dibina sama ada dalam bidang lakonan, nyanyian, pengacaraan dan perniagaan sejak 1982 musnah.
“Hanya kerana isu ini, semua rekod saya terpadam. Sukar gambarkan apa perasaan saya saat ini apabila saya dikecam satu Malaysia.
“Ke mana saya pergi, saya boleh lihat respon orang ramai terhadap saya sangat berbeza.
“Sebelum ini, kalau jumpa saya, mereka akan menyapa dan senyum. Namun, kini boleh nampak perubahan, ada yang tarik muka, nampak wajah benci walaupun tak pernah jumpa atau kenal saya.
“Kebencian ini memang nampak ketara. Dalam tempoh diserang bekas isteri, saya tak jawap walaupun satu.
“Malah, saya turut berpesan kepada Siti Munirah jangan jawab kerana percayalah kebenaran akhirnya akan terbukti,” katanya.