Pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Jovian Mandagie, kini berdepan saat getir dalam hidupnya selepas Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) mengisytiharkannya muflis.
Keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, setelah membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan oleh syarikat pembinaan Cekap Air Sdn. Bhd.. Petisyen tersebut dikemukakan berikutan kegagalan Jovian melangsaikan pinjaman berjumlah RM5.28 juta, termasuk faedah.
Teruskan MembacaMenurut laporan Berita Harian, pinjaman berkenaan dibuat secara lisan pada 25 Februari 2022, apabila Jovian meminjam RM5 juta daripada syarikat tersebut. Dana itu kemudiannya dimasukkan ke akaun pelanggan sebuah firma guaman yang mewakili beliau, dan firma berkenaan turut mengesahkan penerimaan wang tersebut atas arahan Jovian sendiri.
Namun begitu, setelah gagal melunaskan semula pinjaman tersebut, Cekap Air mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman pada Mei 2023, diikuti oleh Notis Kebankrapan, yang membawa kepada pengisytiharan muflis oleh mahkamah.
Jovian telah cuba menggantung dan membatalkan notis serta petisyen kebankrapan itu, namun semua permohonan tersebut telah ditolak oleh pihak mahkamah.
Bagaimanapun, satu rayuan terhadap keputusan penghakiman terus yang dikeluarkan sebelum ini dijadualkan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 15 September 2025.