Seorang pelanggan restoran Rembayung milik pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, tampil berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila mendakwa menerima hidangan ikan yang tidak dimasak sempurna, bukan sekali, tapi dua kali.
Teruskan MembacaMenerusi satu perkongsian video di TikTok, individu berkenaan memaklumkan dia memesan menu Ikan Bawal Sambal Tumis Petai ketika berkunjung ke restoran tersebut. Namun sebaik sahaja hidangan sampai, dia mendapati isi ikan masih keras dan kelihatan seperti belum cukup masak.
Menurutnya, dia kemudian memaklumkan kepada pihak restoran dan meminta agar hidangan tersebut ditukar. Namun apa yang lebih mengecewakan, ikan yang kedua juga didakwa berada dalam keadaan sama, masih belum dimasak sepenuhnya.
Walaupun berdepan situasi itu, pelanggan tersebut tetap memuji layanan kakitangan restoran yang dikatakan profesional dan cepat mengambil tindakan. Dia menjelaskan perkongsiannya bukan bertujuan untuk menjatuhkan perniagaan sesiapa, sebaliknya sebagai teguran membina agar kawalan kualiti (QC) makanan dapat diperketatkan.
Dalam masa sama, dia turut berkongsi bahawa hidangan ikan tersebut tidak dimasukkan dalam bil bayaran, malah terdapat satu item pencuci mulut yang ditandakan sebagai percuma walaupun tidak dipesan.
Perkongsian itu kemudiannya menarik perhatian netizen yang rata-ratanya berharap isu tersebut dapat diperbaiki segera memandangkan restoran Rembayung sering menerima sambutan ramai.
Setakat ini, ramai berpendapat setiap perniagaan pasti ada ruang untuk penambahbaikan, dan maklum balas pelanggan seperti ini boleh dijadikan peluang untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta kualiti makanan.
















