SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menyokong pembangunan seni pertahanan diri tempatan, sekali gus mengiktirafnya sebagai warisan bangsa dan elemen penting dalam pembentukan jati diri generasi muda.
Teruskan MembacaPengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen kerajaan dalam memperkasa ekosistem seni tempur negara.
Menurut beliau, peruntukan tersebut memberi nafas baharu kepada usaha pembangunan yang sebelum ini dijalankan secara terhad.
“Ia membolehkan program latihan atlet dan jurulatih dirancang dengan lebih tersusun dan berfokus,” katanya.
Tambah Abdullah, dana itu akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan latihan, menyediakan peralatan asas serta memperkukuh laluan pembangunan atlet ke peringkat lebih tinggi.
“Sasaran kami adalah untuk melahirkan atlet tempur bertaraf dunia secara berperingkat,” jelasnya.
Inisiatif itu mula diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Pendekar Negara di Seremban, yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Lima Generasi Malaysia.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kepada penggiat seni mempertahankan diri termasuk pertubuhan silat, tokoh persilatan serta atlet silat dan Muay Thai negara atas sumbangan mereka mengangkat martabat seni tempur tempatan.
Dalam pada itu, pertubuhan tersebut turut menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan seni persilatan dengan lebih meluas dalam sistem pendidikan.
Menurut Abdullah, usaha itu selari dengan matlamat membentuk generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan budaya negara.
















