Kerajaan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada bekalan air, sektor pertanian serta keselamatan makanan negara.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-149 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen pada Selasa.
Teruskan MembacaMenurut Anwar, mesyuarat tersebut turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negara susulan ketidaktentuan global, termasuk kesan konflik di Asia Barat yang memberi impak kepada ekonomi dunia.
Selain isu ekonomi, kerajaan juga meneliti tahap kesiapsiagaan negara berdepan El Nino yang berpotensi menyebabkan cuaca panas melampau, jerebu serta menjejaskan bekalan air dan hasil pertanian.
Dalam masa sama, kerajaan komited memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan dengan lebih cekap serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Anwar berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dinikmati di seluruh negara.















