PETALING JAYA – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas baru-baru ini ternyata beri win-win situation untuk ekonomi negara dan rakyat jelata!
Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah ini sememangnya memberi kelegaan besar kepada peminjam terutama yang ambil pinjaman dengan kadar faedah berubah. Bayaran bulanan akan jadi makin rendah, dan itu bermakna lebih banyak duit dalam poket rakyat!
“Bila bayaran bulanan turun, pendapatan boleh guna meningkat. Bila ada lebih, orang akan berbelanja dan syarikat pun makin yakin untuk melabur,” katanya.
Dalam masa sama, Afzanizam turut maklumkan bahawa ringgit masih steady, kekal sekitar RM4.24–RM4.25 berbanding dolar AS. Ini petanda bahawa pasaran ambil langkah ini dengan positif dan terkawal.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan dan BNM cakna terhadap cabaran global seperti tarif AS dan ketegangan geopolitik. Ia akan beri keyakinan pada pelabur terhadap kekukuhan ringgit,” jelasnya lagi.
OPR Boleh Naik Turun Ikut Keadaan Ekonomi
Afzanizam turut ingatkan bahawa kadar OPR ini fleksibel masa COVID dulu, pernah turun serendah 1.75%, dan kemudian dinaikkan balik bila ekonomi mula pulih. Jadi, apa yang penting ialah ia disesuaikan ikut keperluan semasa.
Tambah beliau, dasar monetari ni kalau digabung dengan langkah fiskal (macam perbelanjaan kerajaan), barulah kesan dia lebih ‘padu’ dan menyeluruh.
“Kerajaan kena percepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan seperti dalam Belanjawan 2025 untuk pacu pertumbuhan ekonomi. Gabungan dasar ini boleh jadi pengganda kepada pertumbuhan,” ujarnya.
FYI, BNM juga sebelum ini turunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas suntik lebih RM19 bilion kecairan dalam sistem kewangan negara. Lagi banyak dana untuk pinjaman, lagi lancar ekonomi kita.
Fakta penting:
Semalam, BNM secara rasmi menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC). Ini kali pertama kadar diturunkan sejak 2023.
Nak tahu apa maksud semua ini untuk anda? Kalau ada pinjaman rumah atau kereta — bulan depan mungkin bayar kurang sikit! Dan ekonomi Malaysia pun makin rancak. Kita doa yang baik-baik je!