PETALING JAYA: Bermula Ogos ini, fasiliti kesihatan swasta seperti klinik, hospital dan farmasi komuniti di seluruh negara diwajibkan memaparkan harga ubat secara terbuka, selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan melindungi hak pengguna.
Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Perintah P.U.(A) 141/2025, dan telah bermula sejak 1 Mei lalu dengan fasa pendidikan selama tiga bulan. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 842 fasiliti telah diperiksa, namun hanya 57 peratus mematuhi peraturan pemaparan harga yang ditetapkan.
Teruskan MembacaMenurut kenyataan bersama dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), fasa advokasi akan diteruskan dari 1 Ogos hingga 30 September 2025, di mana fasiliti yang masih belum patuh akan menerima surat peringatan.
Seterusnya, fasa kompaun akan bermula pada Oktober, sebelum penguatkuasaan penuh dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2026.
Menariknya, meskipun terdapat semakan kehakiman difailkan oleh tujuh pertubuhan dan seorang doktor swasta, kerajaan menjelaskan bahawa tiada perintah mahkamah dikeluarkan untuk menangguhkan pelaksanaan inisiatif ini.
“Perintah ini masih sah dan terus berkuat kuasa sehingga keputusan mahkamah diumumkan,” jelas kenyataan tersebut.
Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif penting bagi memastikan pengguna lebih berinformasi sebelum mendapatkan rawatan atau membeli ubat-ubatan, terutama dalam suasana kos sara hidup yang kian meningkat.
















