PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, 13, digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Teruskan MembacaMenurut AGC, langkah ini penting untuk membantu polis melengkapkan siasatan dan mendapatkan bukti tambahan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian remaja tersebut.
Siasatan awal mendapati ada keperluan untuk tindakan susulan supaya semua aspek kes ini dapat disiasat dengan menyeluruh.
“Laporan siasatan awal telah dikembalikan kepada polis bersama arahan, termasuk keperluan menggali semula kubur untuk prosedur bedah siasat,” menurut kenyataan AGC.
Sebelum ini, ibu mangsa, Noraidah Lamat, memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan peguamnya menguruskan proses penggalian semula selepas mendakwa anaknya dikebumikan tanpa bedah siasat.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu, sehari selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah.
Kes ini turut dikaitkan dengan dakwaan buli.
















