BUDAYA vandalisme yang berlaku hampir saban tahun di taman awam dan taman permainan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengakibatkan kos membaik pulih yang tinggi sehingga mencecah RM700,000 pada tahun 2023 melibatkan 17 lokasi taman awam di bawah seliaannya.
Menerusi laporan yang dipetik oleh Wilayahku, Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR), LAr Zulkifli Endut berkata, kegiatan vandalisme dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab amat dikesali kerana ia telah mencacatkan fungsi taman di samping mengancam keselamatan pengunjung yang datang untuk beriadah.
Teruskan Membaca“Terdapat lima penyebab utama yang telah dikenal pasti berlakunya vandalisma di Taman-Taman Awam seliaan DBKL iaitu kecurian kabel lampu taman, komponen dalam feeder pillar hilang dicuri, membakar alatan permainan, kecurian kabel dan merosakkan tiang lampu dan lantern lampu pecah disebabkan penagih dadah,” katanya pada Rabu.
Tambah Zulkifli, pihak DBKL telah mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani masalah vandalisma yang menyebabkan kerugian kepada DBKL serta menyusahkan warga kota untuk beriadah.
“Antara peruntukan undang-undang yang ada adalah Undang-Undang Kecil (UUK) Taman Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2012, UUK 3 yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan di bawah UUK Taman seperti di atas & penalti adalah tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan di antara kesalahan-kesalahannya adalah merosakkan apa-apa benda, peralatan, pokok dan lain-lain yang ada dalam taman tersebut.
“Selain itu, DBKL turut mempunyai Undang-Undang Kecil Vandalisme (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1991, UUK 3 yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan di bawah UUK Vandalisme seperti di atas & penalti di bawah UUK 4 tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan ia dikhususkan berkenaan kesalahan membuat apa-apa yang boleh menyebab kerosakan kepada harta Datuk Bandar termasuk di tempat awam seperti taman-taman di bawah penjagaan atau kawalan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” ujarnya.
Beliau berkata pihaknya tidak membuat unjuran kerugian kerana data vandalisme tidak direkodkan secara spesifik.
“Walau bagaimanapun, peruntukan bagi penyelenggaraan Kawasan lapang dan Taman Permainan Kanak-kanak bertambah 60 peratus dari tahun 2023 dan tahun-tahun sebelumnya kerana peningkatan kawasan rekreasi serta kos naiktaraf yang meningkat berdasarkan keperluan peruntukan tambahan pada tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya.
Menurut beliau, bagi menangani isu vandalisma di taman di bawah seliaannya, pihaknya akan mengambil tindakan dengan membina atau memasang kemudahan yang lebih tahan lasak selain meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang pada masa hadapan.
“Setakat ini, antara tindakan lanjut adalah memasang kemudahan tahan lasak seperti bangku serta tong sampah konkrit, siarkaki juga menggunakan konkrit dengan kemasan broom finish.
Difahamkan, DBKL akan memasang pagar barrier untuk mengelakkan pencerobohan kenderaan serta penjajaan haram serta akan meningkatkan pencahayaan di kawasan rekreasi terutamanya taman-taman perumahan. — KL Viral
Baca juga: