Nama Muhammad Syahir Mohd Rosdi kini menjadi sebutan peminat sepak takraw apabila pemain kebangsaan itu diiktiraf sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Teruskan MembacaPengiktirafan berprestij itu diberikan menerusi Certificate of Distinguished International Excellence, sekali gus mengesahkan kehebatan Syahir sebagai antara pemain paling dominan di posisi tekong di peringkat antarabangsa.
Anugerah yang ditandatangani Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader itu diberikan atas pencapaian cemerlang Syahir dalam tiga kejohanan utama iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.
Aksi konsisten serta persembahan bertenaga yang dipamerkan Syahir bukan sahaja memikat peminat tempatan, malah turut mendapat pujian media sukan luar negara termasuk dari Thailand.
Menurut kenyataan rasmi ISTAF yang dikeluarkan di Singapura, pengiktirafan itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap persembahan luar biasa Syahir di pentas antarabangsa.
Bukan sekadar kuat dari segi servis dan teknik, Syahir juga dikenali sebagai pemain yang memiliki ketahanan mental tinggi serta semangat juang yang tidak pernah luntur setiap kali turun ke gelanggang.
Malah, sumbangan anak muda itu turut dilihat berperanan besar dalam mengangkat nama Malaysia sebagai antara kuasa utama sukan sepak takraw dunia.
Pengiktirafan ini pastinya menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dan bukti bahawa bakat tempatan mampu bersaing serta mendominasi di peringkat global.
















