Satu rakaman video yang tular di media sosial sejak Ahad benar-benar buat ramai naik darah apabila seorang pemandu Toyota Vellfire bertindak kasar dengan menendang seorang pakcik warga emas sebanyak empat kali selepas terlibat dalam satu kemalangan kecil.
Kejadian dipercayai berlaku di kawasan Batu 9, Cheras, apabila berlaku pelanggaran ringan antara kenderaan Vellfire dan sebuah Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 69 tahun.
Teruskan MembacaDalam video berdurasi kurang seminit itu, pemandu Vellfire dilihat hilang kawalan emosi, menjerit dan memarahi warga emas berkenaan sambil melontarkan ayat, “Apa pasal lu lari? Orang dah hon dari traffic light!”
Lebih menyedihkan, walaupun mangsa kelihatan lemah dan tidak melawan, lelaki terbabit terus bertindak agresif sehingga beberapa individu di lokasi terpaksa masuk campur untuk meleraikan keadaan.
Kedengaran juga suara orang awam yang cuba menenangkan situasi dengan berkata,
“Jangan pukul orang tua la…” namun kemarahan suspek jelas sukar dibendung ketika itu.
Susulan penularan video tersebut, ramai netizen mengecam tindakan pemandu Vellfire berkenaan, menyifatkannya sebagai biadab, tidak berperikemanusiaan dan keterlaluan, apatah lagi melibatkan warga emas.
Tidak lama selepas kejadian, polis mengesahkan seorang lelaki berusia 52 tahun telah ditahan di Kajang sekitar jam 11.30 malam bagi membantu siasatan. Suspek direman selama dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 berkaitan ugutan jenayah.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat mengenai isu kemarahan jalan raya (road rage) dan sikap tidak bertimbang rasa segelintir pemandu yang mudah hilang sabar.
Netizen turut mengingatkan bahawa apa jua situasi di jalan raya, keganasan bukan penyelesaian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan warga emas.
















