Setiap kali menjelang Aidilfitri, kebanyakan lagu raya yang dilancarkan biasanya membawa suasana ceria tentang balik kampung, berkumpul bersama keluarga dan kemeriahan Syawal. Namun kali ini, penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah tampil dengan sesuatu yang sedikit berbeza.
Lagu raya terbaharunya berjudul Senyum Gugur Di Penghujung Doa bukan sahaja indah dari segi melodi, malah sarat dengan emosi yang mampu menyentuh hati pendengar.
Teruskan MembacaLagu ini merupakan hasil ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh yang terkenal dengan karya penuh jiwa. Gabungan melodi lembut serta lirik yang mendalam membuatkan lagu ini terasa sangat dekat dengan perasaan ramai orang.
Berbeza dengan lagu raya yang biasanya ceria, lagu ini membawa tema kerinduan terhadap insan tersayang yang sudah tiada. Liriknya seakan menggambarkan perasaan seseorang yang menyambut Syawal dengan penuh kenangan, sambil mengirim doa buat mereka yang telah pergi.
Tidak hairanlah jika ramai pendengar mengaku sebak selepas mendengar lagu tersebut. Di media sosial, ramai netizen berkongsi bahawa lagu ini mengingatkan mereka kepada ibu bapa, ahli keluarga atau orang tersayang yang telah meninggal dunia.
Ada juga yang mengatakan mereka tidak dapat menahan air mata kerana liriknya begitu dekat dengan pengalaman hidup masing-masing, terutamanya apabila mengenangkan sambutan raya yang tidak lagi sama seperti dahulu.
Walaupun bernada sendu, lagu ini sebenarnya membawa mesej yang cukup indah tentang kasih sayang, kenangan dan doa yang tidak pernah putus buat mereka yang kita rindui.
Boleh dikatakan, Senyum Gugur Di Penghujung Doa antara lagu raya yang cukup menyentuh jiwa tahun ini. Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik kegembiraan menyambut Syawal, ada juga rasa rindu terhadap insan yang pernah hadir dalam hidup kita.
Semoga satu hari nanti kita semua dapat disatukan semula dengan insan-insan yang kita sayang, yang dah pergi tinggalkan kita.
















