Pelakon popular Remy Ishak mendedahkan satu pengalaman agak mengejutkan ketika menjalani penggambaran filem Mikael: Pemburu Dua Alam, apabila ada babak yang tiba-tiba ‘lari’ daripada skrip asal.
Menurut Remy, situasi itu berlaku ketika menjayakan satu adegan emosi bersama gandingannya, Ahirine Ahirudine. Apa yang sepatutnya menjadi babak biasa bertukar lebih tegang apabila Ahirine dikatakan terlalu menghayati watak hingga ada aksi fizikal yang tidak dirancang.
Teruskan Membaca“Dia terlepas kawalan sampai ada tersepak atau terajang,” kongsi Remy secara terbuka, namun menegaskan dia tidak mengambil hati dengan kejadian tersebut.
Bagi Remy, perkara seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa, lebih-lebih lagi apabila bekerja dengan pelakon yang masih baru dalam industri. Tambahnya, Ahirine yang sebelum ini dikenali sebagai pempengaruh media sosial masih dalam proses menyesuaikan diri dengan teknik lakonan, terutama babak melibatkan emosi tinggi.
Walaupun insiden itu agak mengejutkan, Remy memilih untuk melihatnya dari sudut positif. Dia menganggap ia sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan turut memaklumkan perkara tersebut kepada pihak produksi agar bimbingan lanjut dapat diberikan.
Dalam masa sama, Remy menekankan kepentingan komunikasi dan sikap profesional di set penggambaran, supaya setiap pelakon dapat bekerjasama dengan lebih baik tanpa menyimpan sebarang perasaan.
Filem Mikael: Pemburu Dua Alam kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan menampilkan pelbagai babak aksi serta emosi yang mencabar.
Nampaknya, bukan saja di layar perak penuh drama, di sebalik tabir pun sama ‘intense’.
















