Rakaman dron yang dikongsikan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Haroqs kini mencuri perhatian ramai selepas memaparkan detik-detik tegang sebelum kapal misi kemanusiaan itu didakwa dipintas tentera Israel.
Video berkenaan menunjukkan suasana sekitar flotila ketika misi sedang berlangsung, dengan keadaan yang semakin mencemaskan sebelum insiden berlaku. Rakaman itu turut dipercayai dirakam menggunakan dron berteknologi tinggi yang bernilai hingga belasan ribu ringgit, sekali gus memberi sudut pandang udara yang lebih jelas dan dramatik.
Teruskan MembacaPeserta Global Sumud Flotilla 2.0, Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, difahamkan sempat menerbangkan dron miliknya lebih awal bagi memantau pergerakan kapal tentera dari jarak jauh sepanjang operasi di perairan antarabangsa.
Rakaman tersebut kini tular di media sosial dan turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa, malah ada yang berpandangan ia boleh menjadi antara bukti penting berkaitan dakwaan tindakan agresif terhadap misi kemanusiaan berkenaan. Terdapat juga pandangan bahawa visual itu berpotensi dijadikan rujukan dalam sebarang prosiding di peringkat mahkamah antarabangsa.

Sebelum ini, aktivis kemanusiaan Dr Taufiq Raziff menerusi hantaran di Threads turut berkongsi mengenai pengorbanan Haroqs yang dikatakan sanggup mewakafkan dron bernilai kira-kira RM15,000 demi menjayakan misi tersebut.
Menurutnya, dron itu digunakan sebagai alat pemantauan dari udara, selain menjadi antara peralatan penting Haroqs sebagai jurugambar dan pencipta kandungan visual.
Tambah beliau lagi, Haroqs juga sudah bersedia lebih awal untuk mengorbankan dron tersebut dengan mencampakkannya ke laut sekiranya situasi memaksa, bagi mengelakkan maklumat sensitif di dalam peranti itu jatuh ke tangan pihak tentera.
Dalam perkembangan terkini, Sumud Nusantara Official memaklumkan kesemua bot flotila telah dipintas, dan pihak mereka kini sedang menunggu maklumat lanjut berhubung status peserta yang terlibat dalam misi berkenaan.
















