Terkini

Kerajaan peruntuk RM10 juta mudah cara proses pendaftaran taska – PM Anwar

Usaha tuntas daripada aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan diperlukan bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja seterusnya merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

“Kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta,” katanya semasa mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’, hari ini.

Anwar berkata kadar penyertaan buruh wanita perlu dipertingkat sehingga mencecah 60 peratus supaya Malaysia lebih setanding dengan ekonomi serantau.

Beliau berkata kadar penyertaan buruh wanita masih di tahap rendah iaitu sekitar 55.5 peratus ketimbang lelaki 80.9 peratus dan jurang jantina berkenaan harus ditingkatkan sehingga mencecah 60 peratus.

Pelbagai

Scroll to Top