Tular sebelum ini, seorang peniaga menjual telur dadar Thai atau Thai Omelette dengan harga mencecah RM13. Pelbagai reaksi yang diberikan oleh para netizen.
Selain aplikasi TikTok, ramai netizen di laman Twitter turut kecoh membahaskan isu itu yang mana mereka menganggap harga tersebut agak keterlaluan dan tidak masuk akal.
Teruskan MembacaNamun, walaupun harganya dikatakan mahal, peniaga wanita yang dikenali sebagai Dania Sedek tetap mampu menjual Thai Omelette tidak kurang 200 set sehari.
Memberi respons atas setiap yang diutarakan oleh para netizen, kata Diana, dia menggunakan bahan yang pelbagai beserta telur dari gred yang bermutu tinggi.
“Sebelum letak harga RM13, saya dah survey. Bukan sekadar di Malaysia, malah di Thailand juga. Saya buat menu ini menggunakan tiga biji telur dengan bahan tambahan seperti Thai basil, bawang, taugeh dan sos prik nampla. RM13 pada saya masih berpatutan.
“Mereka kata kedai lain jual telur dadar RM2. Sekarang, rata-rata orang jual telur dadar RM4 ke RM5. Seketul dalam pinggan, guna sebiji telur dengan Ajinomoto saja. Telur dadar di kedai saya dibuat dengan pelbagai bahan. Paling penting, semua bahan fresh,” ujarnya.
Menurut Dania yang popular dengan menu tom yam dan daging harimau menangis, dia tidak berkecil hati, sebaliknya menganggap kecaman itu sebagai lumrah biasa yang perlu dilaluinya dalam dunia perniagaan.
Di sebalik isu tular itu, Dania yang beroperasi dengan nama ‘Niase’ kini mempunyai 30 pekerja mengakui bersyukur apabila perniagannya di tapak pasar malam Ipoh itu masih menerima sambutan luar biasa sejak ia beroperasi pada 3 November 2021.
“Pelanggan yang beratur panjang masih konsisten sehingga sekarang. Lepas pertama kali viral di TikTok, saya letak keazaman tinggi untuk buat dengan lebih baik. Ia terbukti apabila repeat customer sangat ramai. Saya percaya, selepas viral, orang akan terus datang kalau kita konsisten bagi yang terbaik, ujarnya lagi.
Untuk rekod, Dania yang mempunyai hampir 400,000 pengikut di aplikasi TikTok sering berkongsi video perjalanan perniagaannya, termasuk menu-menu yang ditawarkan di kedainya.
Malah, baru-baru ini, perniagaan Niase menerima lawatan dari YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
“Saya sangat terharu sebab Menteri Besar Perak terangguk-angguk happy makan Niase. Sedap sangat Thai Omelette Niase katanya. Makan banyak sampai habis. Rasa nak nangis terharu,” tambah Dania.