Pemilik kedai makan yang didakwa seorang selebriti mengenakan caj mahal untuk hidangan makanan laut di Johor Bahru tampil membuat penjelasan hari ini.
Menerusi klip video yang dikongsikan di media sosial, wanita berkenaan memperincikan setiap harga dikenakan terhadap Ekin Rahmat – yang juga isteri pengarah dan pelakon Mawi dan hampir 20 ahli keluarga yang lain apabila menjamu juadah di restoran berkenaan pada 30 September lalu.
Teruskan Membaca“Saya pemilik gerai nombor 14, tujuan video ini dibuat untuk memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial oleh selebriti tanah air yang tidak berpuas hati dengan harga makanan yang tidak memuaskan.
“Pada waktu petang mereka telah datang lebih kurang 20 orang termasuk kanak-kanak.
“Dalam video awak cakap ikan makan dua ekor saja tapi sebenarnya total adalah enam hidang,” kata wanita berkenaan.
Melalui video berkenaan, wanita terbabit memaparkan bil tertera mengandungi menu makanan laut yang dipesan Ekin serta keluarganya seperti pari bakar, siakap 3 rasa, siakap stim, udang butter, sotong goreng tepung, ketam cili dan siput gonggong.
Pada penghujung video itu, wanita tersebut berkata, dia bersedia bertemu dengan pasangan selebriti itu sekiranya Mawi dan Ekin masih belum jelas dengan harga yang dikenakan.
Sebelum ini, Ekin atau nama sebenarnya Nora’ Asikin Rahmat memuat naik hantaran di media sosial kerana terkejut dengan caj RM1,260 yang disifatkannya cekik darah oleh pemilik sebuah kedai makanan laut di Johor Bahru.
Katanya, sebagai anak jati Johor yang biasa menikmati makanan di sekitar tempat sama tidak pernah dikenakan harga yang tidak berpatutan.