Terkini

Ancaman ‘White Lung’: Malaysia siap siaga pantau pelancong China – Tiong King Sing

Kerajaan sedia menerima peningkatan kemasukan pelancong China walaupun wujud dakwaan ancaman kesihatan susulan peningkatan penyakit misteri berkaitan pernafasan dan radang paru-paru di negara berkenaan. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kawalan dan pemantauan kesihatan untuk pelancong asing termasuk dari China sentiasa disiap siagakan di pintu-pintu masuk negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“KKM sudah kawal (buat pemantauan), sudah sediakan mesin pengimbas suhu badan dan perkara-perkara lain yang sepatutnya. 

“Di negara China juga sudah naik taraf dalam persediaan mereka (di pintu masuk negara) berhubung isu berkenaan,” katanya kepada media semasa Sambutan Hari Batik Malaysia 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), ‘Ainu Sham Ramli. 

Terdahulu, kerajaan memutuskan memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai Jumaat lalu dalam usaha merancakkan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan. 

Walaupun bakal memberi impak baik kepada industri pelancongan negara, timbul kebimbangan mengenai ancaman kesihatan yang mungkin dibawa pelancong China. 

Ini susulan terdapat laporan mengenai peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dan radang paru-paru membabitkan kanak-kanak di utara negara itu yang dikaitkan dengan ‘White Lung Sydrome’.

Dalam pada itu, King Sing mahu semua pihak termasuk media dan media sosial tidak terlalu memutar belitkan isu berkenaan sehingga boleh menimbulkan kebimbangan awam seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negara. 

Mengenai sambutan Hari Batik Malaysia 2023, King Sing berkata pihaknya mahu Kraftangan Malaysia lebih agresif membantu usahawan batik untuk meningkatkan pengeluaran batik negara untuk pasaran luar negara. 

“Kita adakan perbincangan dengan Ketua Pengarah (Kraftangan Malaysia) untuk naikkan taraf ‘skills’ (kemahiran) dalam menghasilkan batik. 

“Sebolehnya kita mahu tingkatkan lagi eksport batik Malaysia sempena hubungan bilateral (dua hala) antara Malaysia dengan China, maka kita merancang untuk hasilkan rekaan dan koleksi khas batik,” katanya. 

Rekaan dan koleksi khas itu bagi melambangkan hubungan baik antara dua negara sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top