Terkini

Berang pasangan kekasih bergaduh, lelaki nekad langgar kereta

SEORANG lelaki berang dan bertindak luar kawalan dengan melanggar kereta sepasang kekasih membuat bising di parkir kediaman di Brickfields.

Rakaman berdurasi 27 saat itu tular di aplikasi X dan telah mendapat 2,332 tontonan dan sembilan perkongsian pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata polis menerima laporan kejadian daripada seorang lelaki berusia 40 tahun pada 22 April lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian berlaku pukul 2.15 petang, pengadu dan teman wanitanya bertengkar di dalam rumah dan menyebabkan bunyi bising.

“Suspek lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan kepada penyewa lain dalam rumah berkenaan berasa berang dengan pertengkaran pasangan itu.

“Selisih faham itu tidak terhenti di dalam rumah sebaliknya menyebabkan berlakunya kejadian khianat kenderaan apabila suspek yang memandu didapati dengan sengaja melanggar kenderaan pengadu yang keluar dari parkir.

“Kenderaan pengadu mengalami kerosakan teruk namun pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Bertindak atas laporan, Ku Mashariman berkata, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menahan suspek di daerah ini pada pukul 6.15 petang kelmarin.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dari 2014 dan masih dikehendaki bersabit kes jenayah di daerah Cheras.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula Rabu sehingga Jumaat bagi siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan tuduh.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top