Terkini

KKM dalam usaha tangani kelesuan, beban kerja dikalangan petugas kesihatan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang menyemak semula beberapa amalan sedia bagi menangani bebanan kerja dan kelesuan lampau dalam kalangan petugas kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya juga bersetuju dengan seruan agar satu anjakan budaya dapat dilaksana supaya kesihatan dan kesejahteraan petugas kesihatan dapat terus diiktiraf.

Anjakan itu termasuk dengan mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan dan struktur upah yang lebih saksama.

“Walaupun pengumuman kenaikan gaji untuk penjawat awam baru-baru ini adalah langkah permulaan yang baik, inisiatif di KKM turut meliputi insentif bukan kewangan,” jelasnya dalam kenyataan.

Menurut Dr Dzulkefly lagi, KKM juga akan mengambil langkah lain untuk menangani cabaran sedia ada antaranya dengan mengoptimumkan taburan pesakit dengan adanya hospital kluster, mengadakan kerjasama awam-swasta bagi aktiviti penyumberluaran dan mengerah kakitangan ke jabatan yang lebih memerlukan.

Tempoh operasi klinik kesihatan pula dipanjangkan untuk mengurangkan bebanan di hospital selain mengenal pasti kesenjangan tenaga kerja melalui tinjauan bekalan dan permintaan yang sedang dibuat dengan kerjasama Bank Dunia.

“Pembinaan sebuah sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan memerlukan sebuah strategi pembiayaan yang komprehensif dan jangka panjang.

“Namun begitu, sekali pun kita berhasrat untuk meningkatkan sumber manusia kita, sumber kesihatan Malaysia terhad,” jelasnya sebagai mengulas laporan sebuah portal kesihatan pada 3 Jun lepas berhubung situasi pegawai perubatan di hospital kerajaan perlu berdepan dengan jadual kerja tidak menentu.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top