Terkini

Video harimau ditemui mati di Sungai Dabong cetus spekulasi warganet

TULAR baru-baru ini rakaman video memaparkan penemuan seekor harimau yang telah mati di sebuah SUngai Dabong, Kuala Krai, Kelantan pada petang hari Jumaat.

Video berdurasi 30 saat tersebut memaparkan orang awam turut membantu penguatkuasa di sana untuk mengangkat bangkai haiwan tersebut yang terbaring di dalam sungai berkenaan.

Menjengah di ruangan komen, segelintir warganet seolah-olah membuat spekulasi sama ada haiwan tersebut diracun oleh pemburu haiwan eksotik di sana.

Namun, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Kelantan telah menerima laporan mengenai penemuan tersebut.

Perhilitan Kelantan turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat apa-apa spekulasi sambil menunggu laporan bedah siasat haiwan berkenaan.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan bahawa bangkai haiwan liar itu ditemui oleh penduduk kampung yang melalui kawasan sungai tersebut.

Mereka kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata bahawa sepasukan renjer telah dikerahkan ke lokasi penemuan untuk menyiasat kejadian tersebut.

“Bangkai harimau belang itu kemudiannya dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara di Sungkai, Perak untuk menjalani bedah siasat.

“Prosedur bedah siasat ini adalah untuk menentukan punca kematian haiwan liar tersebut,” kata Mohamad Hafid, lapor Bernama.

Beliau turut menambah bahawa keputusan bedah siasat harimau belang itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat. — KL Viral.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top